Tuesday 8 October 2013

TTPA : Malaysia Bukan "Pak Turut"

NUSA DUA (BALI): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Malaysia bukan 'Pak Turut' dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), satu inisiatif bagi mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di seluruh rantau Asia Pasifik, demi menjaga kepentingan negara. 

Sebaliknya beliau berkata, Malaysia sudah menyatakan pendiriannya dengan tegas untuk melakukan proses dalaman iaitu menerangkan perjanjian berkenaan kepada kabinet, rakyat Malaysia serta perbahasan di Parlimen, sebelum membuat keputusan. 

"Kita tak jadi 'Pak Turut' sama sekali, itu tidak benar," katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri mesyuarat para pemimpin TPP, di sini, hari ini. 

"Kita masuk dengan kerelaan hati kerana kita merupakan sebuah negara perdagangan, antara yang terbesar di dunia, sebab itu kita ada kepentingan untuk masuk sebagai rakan TPPA dan berpeluang menentukan kerangka FTA yang baharu di dunia." 

Najib berkata, Malaysia tidak akan dapat memberi input dan pandangan bagi mencorakkan perdagangan bebas dunia jika negara tidak terlibat dalam rundingan itu. - BERNAMA